Wednesday 3 July 2013

APA BERLAKU DI SYRIA

APA  BERLAKU DI SYRIA?

Pencerahan ini ditulis oleh Tukartiub--------Kota Damas – panggilan manja  warga Arab untuk kota Damsheik atau Damascus untuk warga Barat.  Ini lama dahulu ketika saya berkelana.  Saya datang dari Hong Kong membawa jemputan dari Asia Students Association (ASA) kepada Persatuan Pelajar Syria untuk hadir ke Kongress ASA di Chiengmai Thailand. Justeru saya menjadi tamu Persatuan Pelajar Kebangsaan Syria.

Sebelum sampai ke Damas saya telah melintasi Amman Jordan. Saya  membawa jemputan yang  sama.  Saya diberitahu bahawa Persatuan Pelajar Jordan dalam buangan beroperasi di Beirut. Bagitu juga dengan GUPS – General Union of Palestine Students. Justeru saya wajib juga dari Syria ke Lebanon. Ketika ini Perang Saudara di Lebanon baru bermula.

Saya tersangkut hampir dua minggu di Damas. Bumi Arab inilah yang menjadi permulaan  jejak dan tapak saya berkelana. Saya tersangkut kerana jalan utama dari Damas  ke Beirut telah ditutup kerana Perang Saudara. Lalu untuk membunuh masa saya meligari kota Damas.

Pada tahun 1974, ramai anak-anak  muda di Malaysia tidak ada langsung ada  kefahaman tentang Sunni dan Shia. Ketika saya membesar saya  tidak mengetahu tentang wujudkan dua mazhab ini. Yang  saya fahami  - saya ini adalah penganut Islam tidak lebih dari itu. Sunni dan Shiah ini tidak pernah wujud dalam fikrah saya.

Saya  bertemu dengan mazhab Shiah di Iraq. Ini pada tahun 1975 – lama  sebelum Revolusi Iran  kerana saya telah menjadi tamu Persatuan Pelajar Iraq. Malah sebelum dunia membaca tentang Ayatollah Khomeini saya telah melawat Karbala dan Najaf. Ketika saya melawat Najaf Ayatolalh Khomeini  masih lagi ‘orang buangan’   Najaf sebelum  dia dihalau  keluar dari Najaf   ke Kuwait dan berakhir di Paris.

Dengan pecahnya  Revolusi   Iran  penganut Islam di Malaysia telah disedarkan tentang wujudnya satu lagi mazhab Islam yang dipanggil Shiah. Penganut Shiah di Iran telah bangun melawan Shah Reza Pahlevi. Raja  Iran ini telah dinaikkan ke tahta oleh CIA. Justeru, Revolusi Iran telah melonjakkan naik  kesedaran tentang Shia dikalangan anak-anak muda Islam diseluruh dunia. Mazhab  Shiah dilihat membawa garis melawan imperialis.

DAMASCUS ANTARA KOTA TERTUA


Hari ini,  pada tahun 2013 – kita sedang  melihat bagaimana Islam telah dijadikan musuh oleh kuasa imperialis Anglo-Amerika. Sesudah tamatnya Perang Dingin  dan runtuhnya Tembok Berlin  (1989)   pernah diharapkan politik dunia akan membawa pencerahan dan keamaman untuk umat manusia.  Harapan ini meleset. Kaum pemodal, kuasa militer, peniaga senjata antarabangsa bersama dengan politikus  kanan telah memilih Islam sebagai musuh baru.

Di zaman Perang Dingin dahulu  yang dijadikan  musuh ialah negara yang menggunakan sistem ekonomi Sosialis,  kaum Sosialis dan kaum Komunis. Mereka bukan hanya ditohmah dan difitnah malah mereka dibantai dan dikorbankan. Kali ini yang menjadi musuh ialah Islam. Ini yang sedang  kita saksikan.

Awas, kaum pemodal antara bangsa dengan cekap telah menggunakan  perbezaan mazhab – Sunni dan Shia – untuk membantai umat Islam. Perbezaan Sunni/Shiah ini sedang dijadikan senjata ulung untuk membantai  warga Syria.

DAMASCUS KOTA SEJARAH ZAMAN

Saya akui disini bahawa  manusia yang bernama Bashar al-Assad itu mungkin bukan sosok terbaik untuk dijadikan contoh pendemokrasian di Syria atau untuk bumi Arab/Islam.  Dibelakang gerakan anti-Bashar ini sebenarnya ada ajenda yang lebih besar yang telah dirancang oleh kaum imperialis Anglo-Amerika. Pekara inilah yang ingin saya terangkan agar ianya dapat membawa pencerahan untuk kita semua. Ini bukan bermakna saya lebih bijak dari pembaca. Apa yang saya paparkan ini hanya satu analisa  dari  kajian, pembacaan  dan pengalaman saya.

Justeru, sekali lagi saya tegaskan disini bahawa apa yang berlaku di Syria itu bukan pertempuran Sunni dan Shiah. Apa yang sedang berlaku ialah pembantaian warga Syria  - Sunni, Shiah, Kristian, Baath atau Majusi. Perperangan dan pembunuhan di Syria ini adalah sebahagian dari ajenda Anglo-Amerika untuk menaklok bumi Arab. Kenapa perlu di taklok bumi  Arab? Jawabnya: minyak.

Kita harus faham bahawa yang kata-kata lunak, janji-janji manis dari Clinton, Bush atau Obama terhadap  Warga Islam hanyalah kata-kata. Kuasa imperial Anglo-Amerika memiliki ajenda yang telah lama dirancang. Contohnya : serangan keatas Iraq telah  lama dirancang -  jauh sebelum ledakan WTC di New York tahun 2001.

DATARAN UMMAYAD - DAMASCUS

Pendemokrasian yang diajukan oleh kuasa imperial Amerika itu bunyinya amat lunak. Lalu saya meminta semua pembaca bertenang dan berfikr sajenak. Kenapa demokrassi hanya perlu diwujudkan di Libya, Mesir, Iraq dan Syria. Kenapa demokrasi tidak diajukan kepada  Saudi Arabia.

Dari fakta pembacaan  - negara Saudi yang kaya raya dengan duit minyak ini tidak langsung memiliki ciri-ciri demokrasi jauh sekali menghormati hak asasi manusia. Malah kita sering terbaca berita tentang bagaimana warga asing yang bekerja di Saudi dijadikan hamba abdi sama saperti dizaman Rasullulah.

Sebuah lagi negara Arab yang  bagitu kuat menyokong dan memberi dana dan senjata kepada gerombolan pengganas untuk menyerang Syria ialah Qatar. Atas nama Islam , atas nama Sunni , senjata  telah dihantar  untuk membunuh Shiah.  Qatar memberi duit dan senjata  kerana ingin  membangunkan Syaria untuk menjadi  sebuah Darul yang lebih demokratik.  Mari kita bertanya:  bila ada pilihan raya di Qatar? Demokratik sungguhkah  negara yang bernama  Qatar ini?

Telah saya katakan tadi  bahawa semua ini berlatarkan keperluan kaum  pemodal antarabangsa untuk menaklok  bahan bakar petrolium.   Iraq dahulu bebas dan merdeka.  Iraq TIDAK membenarkan syarikat minyak asing masuk membuat cari gali. Kini Iraq telah dibuka untuk Shell, Esso, Exxon termasuk Petronas. Yang  masih berdegil melarang syarikat luar dari mencari gali minyak hanya Iran.

Untuk menundukkan atau menyerang  Iran, Syria perlu dijatuhkan dahulu. Ini kerana Syria dan Iran  memiliki hubungan yang intim semanjak zaman Presiden Hafeez dan zaman Khomeini. Hubungan ini diikat pula dengan perjanjian bantu membantu  dari segi ketenteraan.

KOTA ALEPPO - INDAH BERSEJARAH
Apabila kita membaca pilitik Iran atau Syria atau Timur Tengah maka kita wajib memahami juga peranan negara Zionis Isreal.  Israel telah dipacakkan ditengah bumi Arab oleh kuasa imperial Anglo-Amerika sesudah Perang Dunia keDua. Zionis Isreal  bergerak  sebagai pengkalan tentera Amerika. Israel  menjadi Polis  untuk Amerika.


Sahehlah bahawa  bahan bakar minyak petrolium ialah kunci kepada semua ini.  Ekonomi kapitalis dunia  hari ini dijana oleh bahan bakar petrolium. Tanpa petrol dunia yang kita kenali hari ini akan berubah wajah.  

Kalau kita beli minyak  dari stesen Petronas kita menggunakan duit ringgit. Kalau beli minyak di Pakistan wajib menggunakan Rupiah. Tetapi jika Malaysia atau Pakistan mahu  membeli minyak dipasaran dunia, negara ini wajib menggunakan dolar.
  
Jual beli minyak dalam pasaran dunia hari ini wajib menggunakan dolar. Inilah hasil  perjanjian yang telah diikat oleh Presiden Nixon dengan Raja Faizal  - pada tahun 1972 – ketika dolar tidak lagi bersandarkan emas. Saudi sebagai pengeluar minyak terbesar dalam dunia mewajibkan minyak dibeli dengan dolar. Perjanjian ini memastikan Saudi dapat senjata dari  Amerika. Amerika juga akan  memastikan rejim  Saudi selamat dari diganggu gugat  oleh  Isreal atau musuh dalaman.

Maka munculkan apa yang dipanggil sistem PetroDollar.  Dolar Amerika menjadi kukuh. Ini kerana banyak negara dalam dunia hari ini TIDAK memiliki minyak. Tetapi, negara-negara  ini memerlukan  minyak. Maka negara ini wajib mengekspot  barangan kepada Amerika untuk mendapatkan dolar. Dengan adanya dolar baru minyak dapat dibeli.

BAZAR ANTARA TERTUA DIDUNIA


Disinilah muncul  kong kalikong yang paling besar. Amerika terus mencetak dolar untuk membeli barangan impot. Hakikatnya ekonomi Anmerika hari ini adalah ekonomi silap mata. Maka kerana itu apabila Saddam mahu menjual minyak tanpa menggunakan  dolar  -  Saddan Hussein dibunuh.  Gadaffy juga menerima nasib yang sama apabila dia mahu menukar dolar  dengan mata wang lain.

Kong kalikong Amerika ini bukan TIDAK disedari. Ramai yang tahu tetapi terpaksa sujud kepada Amerika kerana kuasa bala tentera Amerika berselirat dalam dunia hari ini. Semua negara kini tertalok dibawah kuasa Anglo-Amerika.   Dulu ada Empire Rom – kini kita dijajah oleh Empire Amerika.

Saudi memiliki simpanan  minyak  terbanyak dalam perut buminya. Negara kedua ialah Iran. Justeru Iran wajib ditundukkan.  Jika Iran menjual minyaknya tanpa menggunakan dolar pasti ekonomi Amerika terjejas. Kerana inilah  dibuka kesah Sunni dan Shiah. Kesah ini bertujuan untuk menutup kesah bangkai dolar yang semakin mencemaskan dunia kapitalis.

Ketika saya di Beirut pada tahun 1975 – saya telah melihat kematian dan pembunuhan dalam perang saudara. Kali ini saya hanya berkeupayaan untuk  menulis. Tapi saya tahu apa rupanya  perang saudara yang sedang berlaku di Syria. 
Saya akhiri dengan satu pertanyaan: kenapa kita  tidak dapat memahami bagaimana kaum pemodal, towkay penjual senjata dan politikus kanan yang kaya raya terus mengadu dumba kita. Di Lebanon - Christian dengan Islam. Di Rawanda Tutsi dengan  Hutu. Di Syria Sunni dengan Shiah. Dan di Malaysia Melayu dengan China.

tukartiub

No comments:

Post a Comment